Pakir bertingkat berteknologi tinggi di JB

JOHOR BAHRU – Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) akan membangunkan projek sistem tempat letak kereta bertingkat berteknologi tinggi menerusi Program Transformasi Bandar Raya Johor Bahru.

Penyandang kerusi Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, pembangunan itu merupakan antara tujuh projek yang akan dilaksanakan MBJB dengan kos keseluruhan RM24.3 juta.

Menurutnya, semua projek itu dilaksanakan sejajar usaha menjadikan Bandar raya Johor Bahru bertaraf antarabangsa.

“Projek tempat letak kereta itu bakal menempatkan sebanyak 184 lot kenderaan dan dilengkapi teknologi tinggi yang akan berfungsi secara mekanikal dengan kos RM10 juta dan merupakan inisiatif pertama dilaksanakan pihak berkuasa tempatan.

“MBJB juga merancang untuk membangunkan tiga lagi bangunan bertingkat di sekitar kawasan bandar raya untuk dijadikan tempat letak kereta bagi menangani masalah kekurangan tempat letak kereta,” katanya selepas mengadakan walkabout ke Zon Bandar MBJB, di sini sebentar tadi.

Terdahulu, Nur Jazlan yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri diiringi Datuk Bandar Johor Bahru, Amran A. Rahman mengadakan walkabout selama dua jam meninjau projek baharu dan sedang dilaksanakan di bandar raya ini selain turut beramah mesra dengan orang ramai yang sedang menikmati sarapan di beberapa kedai di kawasan terlibat.

Tujuh lokasi yang dikunjungi beliau ialah mercu tanda kilometer ‘Zeromile’, Laman Tun Sri Lanang, Jalan Tan Hiok Nee, JB Popup Park Jalan Trus, Broadway Jalan Segget dan Jalan Siu Nam, Jalan Meldrum.

Sumber: UTUSAN ONLINE

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*