Pasar tani Segamat hambar: Peniaga harap ada penyelesaian

SEGAMAT – Kira-kira 20 peniaga pasar tani Segamat di sini berharap beberapa isu yang dihadapi mereka seperti kekurangan tempat meletak kenderaan dan kurangnya promosi yang menyebabkan pengunjung terus berkurangan, dapat diberikan perhatian oleh pihak berwajib.

Mohd Lani Ismail, 64, berkata  kedudukan pasar yang kurang strategik mungkin juga antara faktor ia tidak mendapat sambutan orang ramai sejak empat tahun kebelakangan ini.

Menurutnya, dahulu, beliau mampu  memperolehi RM3,000 sebulan hasil daripada jualan parang dan golok tradisional.

“Sekarang, nak kutip RM1,000 sebulan pun susah. Jadi, saya berharap pihak berwajib  melihat perkara ini bagi mengembalikan semula zaman kegemilangan pasar ini,” katanya kepada Bernama di tapak pasar berkenaan, baru-baru ini.

Sarah Karim, 63, pula berkata pihak berwajib mungkin  terlepas pandang dengan keperluan dan masalah yang dihadapi peniaga di situ.

“Kadang-kadang, mak cik terpaksa balik dengan hasil jualan hanya RM10. Jadi, kalau boleh sediakanlah tapak baharu memandangkan tapak sedia ada tidak selesa untuk dikunjungi, lebih-lebih lagi ketika musim hujan,” katanya yang tinggal di Felda Pemanis.

Sementara itu, seorang pengunjung yang hanya ingin dikenali sebagai Mat, 61, berkata beliau sering membeli barang keperluan harian di pasar tersebut sejak lapan tahun lalu.

Bagaimanapun, dalam tempoh tersebut, beliau dapat melihat kemeriahan pasar tani itu semakin pudar, salah satu penyebabnya mungkin masyarakat mempunyai pilihan tempat lain untuk berbelanja.

“Namun saya tetap memilih pasar tani ini kerana barang basah segar dan harga berpatutan. Cuma, masalah utama yang dihadapi pengunjung adalah tempat untuk meletakkan  kenderaan  terhad.

“Pada fikiran saya, elok juga tapak pasar tani ini dipindahkan ke tempat baharu yang lebih selesa kepada pengunjung,” katanya.

Pasar tani Segamat dibuka setiap Sabtu dari 7 pagi hingga tengah hari, menjual pelbagai barang keperluan harian termasuk daging, ikan, ayam, sayur-sayuran dan pelbagai makanan.

Sumber: Sinar Harian 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*