Sekitar Majlis Istiadat Pemasyhuran Sultan Pahang ke-6, Sultan Abdullah dimasyhur Sultan Pahang

SULTAN Abdullah Sultan Ahmad Shah, hari ini, dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang VI, menggantikan Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah.

Pemasyhuran yang penuh adat istiadat diraja di Balairung Seri, Istana Abu Bakar, Pekan diumumkan oleh Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah, yang membacakan Pengisytiharan Pelantikan Raja di bawah Perkara 9A Undang-undang Tubuh Kerajaan Pahang (Bahagian Pertama).

“Maka adalah dengan ini dimasyhurkan bagi pengetahuan orang ramai bahawa Jumaah Pangkuan Negeri kali ke-110 yang bermesyuarat pada 11 Januari 2019 bersamaan 5 Jamadilawal 1440 Hijrah dan mengikut hukum syarak bersetuju memilih, melantik dan memasyhurkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Mahkota Tengku Abdullah Alhaj DK SSAP, SIMP, DK Terengganu, DK Johor, Pemangku Raja Pahang, Waris Ganti menjadi raja pemerintah yang menaiki takhta negeri Pahang dan segala jajahan takluknya bagi menggantikan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah berkuat kuasa 11 Januari 2019 bersamaan 5 Jamadilawal 1440 Hijrah.

“Maka yang demikian ketahuilah pada semua yang hadir seluruh rakyat Pahang dan semua orang supaya mengambil maklum dan menjunjung taat setia kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Abdullah Alhaj ibni Sultan Haji Ahmad Shah,” katanya.

Pemasyhuran Sultan Abdullah sebagai Sultan Pahang yang baharu hari ini melayakkan baginda dalam senarai pemilihan sebagai Yang di-Pertuan Agong XVI.

SEKITAR Majlis Istiadat Pemasyhuran Sultan Pahang ke-6 di Istana Abu Bakar. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja bagi tujuan memilih Yang di-Pertuan Agong baharu, berikutan peletakan jawatan oleh Sultan Kelantan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong XV pada 6 Januari lepas, akan diadakan pada 24 Januari ini di Istana Negara.

TANGGAL 15 Januari mencatat sejarah istimewa untuk rakyat Pahang apabila istiadat pemasyhuran Sultan Pahang keenam dalam era moden, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berlangsung di Istana Abu Bakar, Pekan, pagi ini.

Istiadat pemasyhuran yang akan disaksikan 1,600 tetamu terdiri daripada kerabat diraja, barisan kepimpinan kerajaan negeri dan wakil masyarakat termasuk ketua kampung di negeri ini dijadual berlangsung pada 11 pagi di Balairung Seri.

Pemasyhuran Sultan Abdullah sebelum ini diputuskan dan dipersetujui sebulat suara oleh kerabat diraja Pahang dan ahli Jumaah Pangkuan Diraja Negeri pada mesyuarat Majlis Jumaah Pangkuan Diraja Pahang di ibu negara, Jumaat lalu.

Keputusan itu diambil berikutan keadaan Sultan Ahmad Shah yang kini gering dan tidak lagi boleh memikul tugas serta tanggungjawab sebagai pemerintah.

Sultan Abdullah yang diputerakan pada 30 Julai 1959, di Istana Mangga Tunggal Pekan adalah cahaya mata keempat dan putera sulung Sultan Ahmad Shah dan Almarhum Tengku Ampuan Afzan Tengku Muhammad.

Sebelum dilantik menjadi raja pemerintah negeri ini, Sultan Abdullah pernah dua kali diamanahkan menjadi Pemangku Raja Pahang iaitu kali pertama pada 28 April 1979 semasa Sultan Ahmad Shah menjadi Yang di-Pertuan Agong ketujuh dan kali kedua pada 28 Disember 2016 semasa kesihatan Sultan Ahmad Shah mula merosot.

Sultan Abdullah mendirikan mahligai dengan Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada 6 Mac 1986. Baginda dikurniakan empat putera dan lima puteri.

VIDEO:

 

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! RM

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @RojakMedia

Sumber: NSTP

Apa kata anda?

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*