Sindiket Kutip Derma Sekitar Batu Pahat Tumpas

Serbuan di sebuah hotel bajet di daerah ini, malam kelmarin, berjaya menumpaskan sindiket mengutip derma yang dianggotai enam warga Thailand.

BATU PAHAT – Enam warga Thailand yang menganggotai sindiket mengutip derma di sekitar daerah ini ditahan dalam serbuan di sebuah hotel bajet di sini, kira-kira jam 11.40 malam kelmarin.

Kadi Daerah Batu Pahat, Muhammad Husni Tamrin Md Sharif berkata, mereka yang ditahan berusia antara 25 hingga 30 tahun, dipercayai aktif mengutip derma sejak empat tahun lalu, kononnya untuk pembinaan sebuah masjid.

Menurutnya, semasa serbuan dijalankan bersama anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, keenam-enam suspek sedang asyik mengira wang kutipan masing-masing yang dianggarkan sebanyak RM3,800.

“Kumpulan ini menyasarkan orang ramai yang sedang makan di restoran, kedai makan dan juga di kaki lima jalan di kawasan tumpuan seperti di Jalan Rahmat, Jalan Sultanah dan  Jalan Omar.

Muhammad Husni (tengah) menunjukkan tabung dan barangan yang dirampas daripada sindiket berkenaan.

“Mereka juga melakukan kutipan derma ini di kawasan bank dan juga pasar-pasar dan turut dilihat di kawasan tempat letak kereta di pasar raya,” katanya dalam sidang media di Pejabat Kadi Daerah Batu Pahat.

Muhammad Husni berkata, serbuan dan pemeriksaan yang dijalankan menerusi Operasi Tabung di Jalan Sultanah, malam kelmarin,  dilakukan hasil maklumat serta risikan.

Katanya, semasa serbuan, kesemua enam lelaki warganegara Thailand itu memberikan kerjasama.

“Mereka ini mengaku mengutip derma untuk sebuah masjid di negara asal mereka, bagaimanapun mereka mengutipnya tanpa memiliki kebenaran bertulis daripada kami.

“Kesemua suspek kini disiasat mengikut Seksyen 106 Enakmen Pentadbiran Islam Negeri Johor (EPAINJ)  2003. Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Tiada kebenaran dikeluarkan kepada warga asing

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya atau bersimpati dengan pengutip derma sebegini, sebaliknya periksa dahulu kesahihan dokumen yang ditunjukkan sebelum menderma.

Jelasnya, hanya ada tiga surat kebenaran dikeluarkan pihak berkuasa iaitu daripada polis, Jabatan Agama Islam Negeri dan daerah yang mempunyai syarat tertentu yang perlu dipatuhi.

“Kebenaran mengutip derma dikeluarkan oleh peringkat negeri lazimnya membabitkan tempoh setahun dan dalam masa sama kebenaran wajib dimohon di peringkat daerah yang biasanya memberikan tempoh kutipan untuk sebulan di daerah itu sahaja.

Muhammad Husni menunjukkan contoh surat kebenaran yang dikeluarkan pihaknya untuk mengutip derma.

“Di sini kita ingatkan warga asing tidak dibenarkan mengutip derma kerana menyalahi pas lawatan sosial mereka dan tiada kebenaran mengutip derma akan dikeluarkan kepada mereka.

“Kebenaran juga hanya dikeluarkan kepada senarai nama yang tertera dalam surat mengutip derma itu iaitu biasanya pihak berkaitan seperti ahli jawatankuasa masjid dan madrasah,” katanya.

Muhammad Husni berkata, pihaknya kini merancang untuk mendapatkan kerjasama daripada ketua kampung, penghulu dan masyarakat untuk melaporkan keberadaan ahli sindiket itu bagi membolehkan tindakan diambil.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa mengesahkan penangkapan tersebut.

Sumber: Sinar Harian 

Apa kata anda?

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*